Tidak dapat dinafikan, peminat drama Melayu bergenre romantik memang begitu ramai apalagi melihat kepada lambakan karya yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Namun buat seorang pengarah bernama Wan Hasliza Wan Zainuddin pula, percubaan menyajikan siri drama komedi ‘Kampung People’ nampaknya membangkitkan satu fenomena baru dalam industri hiburan Malaysia. Mana tidaknya, konsep drama berkenaan begitu dekat dengan masyarakat di samping 1001 lawak yang tak terjangka dek akal.
BACA :Â Kacak Persis Pelakon Thai, Watak Jaafar Dalam Kampung People Pikat Penonton
Balik semula bandar…tapi ‘sesuatu’ masih terasa kurang
Selepas konflik yang melanda keluarga Razif selesai sepenuhnya, mereka akhirnya kembali ke bandar untuk meneruskan hidup sebagai orang kaya dalam episod ke-13 semalam. Malangnya, mereka berempat dapat merasakan satu kekurangan dan asyik teringat kepada memori ketika menjadi orang kampung sebelum ini.
Kampung ‘mengajar’ banyak benda pada keluarga Razif
Saat rumah lama mereka di kampung sedia untuk disewakan kepada Badrul Bisu yang baru pulang daripada berbulan madu, Geng ‘Kampung People’ bagaimanapun terkejut dengan kemunculan sebuah kereta mewah. Siapa menduga rupanya keluarga Razif mengambil keputusan untuk terus menetap di desa yang telah mengajar mereka pelbagai erti tentang kehidupan sebenar.
Kebahagiaan boleh dikecapi di mana-mana
Dalam pada itu, posting di Instagram ‘Badrul Bisu’ atau nama sebenarnya Mohd Shahril Ahmed Tajuldin juga berjaya membuka mata ramai mengenai pengajaran yang tersirat dalam drama ini. Bukan sahaja menggunakan teknik halus bagi menyindir isu-isu semasa zaman sekarang, malahan membuktikan bahawa kebahagiaan itu akan dicapai tanpa mengira tempat asalkan kita sentiasa bersama dengan orang tersayang.
Sumber : Instagram Shahril Sarjen, Drama Sangat