Diam tak diam, segala persoalan dalam ‘Kampung People’ bakal terjawab menjelang episod terakhirnya Rabu nanti. Sejak ditayangkan pada 11 Disember tahun lalu, nampaknya pelakon watak Badrul Bisu juga telah mendapat tumpuan peminat setia naskah yang mengetengahkan genre komedi dan kekeluargaan ini. Selain beberapa kali muncul sebagai ahli jemaah surau, karakter ini turut terbabit dalam beberapa babak mesra antara Laila (Riena Diana) dan Jaafar (Hun Haqeem).
BACA: [VIDEO] Janna Nick Tergolek Live, Kaki Terpelecok Depan Pelakon Kampung People
Pernah disangka betul-betul bisu..
Gara-gara penangan drama fenomena tersebut, siapa sangka pemegang watak ini pernah disangka betul-betul bisu oleh masyarakat di luar sana. Malahan, lelaki yang bernama Mohd Shahril Ahmed Tajuldin atau mesra disapa sebagai Shahril Sarjen juga ‘terjebak’ dalam drama ini secara kebetulan sahaja.
Pernah sekali tu saya nak order makanan. Ada seorang makcik kat kedai tu terkejut dengar suara & ingatkan saya ni betul-betul bisu. Sebenarnya, tugas asal saya dalam drama ini adalah sebagai art director yang memastikan latar belakang set penggambaran nampak cantik dalam kamera. Selain itu, saya juga terlibat menyediakan prop dan kenderaan untuk digunakan oleh para pelakon. Selain itu, saya berkecimpung dalam beberapa babak sebagai extra saja memandangkan Badrul tak banyak skrip dan mahu cari duit lebih.
Pengarah dapat inspirasi ‘hidupkan’ watak Badrul
Tapi bila Wan Hasliza (pengarah) nampak ‘Badrul’, terus dia cakap dah nampak inspirasi watak itu dalam drama arahannya. Dia buat skrip baru yang ditambah dengan watak saya, dan kadang-kadang benda yang tak wujud dalam skrip pun tiba-tiba boleh wujud pula. Betapa geIiganya kepala dia masa tu. Kalau nak tahu saya ni bukan disakat dalam TV saja tau, tapi luar lensa kamera pun sama.
Selain masak kek pandan Laila…pernah jatuh banyak kali
Mengulas tentang penghasilan kek pandan pula, lelaki berusia 41 tahun ini menyatakan bahawa dia sendiri belajar resepi membuat kek semata-mata demi menjayakan drama berkenaan. Hal ini disebabkan penghasilan sesebuah drama sentiasa terikat dengan budget yang telah pun diperuntukkan. Selain itu, dia turut berkongsi babak yang paling tak boleh dilupakan sepanjang menjayakan watak Badrul.
Memandangkan harga di kedai mahal, jadi apa yang boleh saya lakukan adalah cari resepi dekat YouTube & buat sendiri kek pandan Laila serta kek birthday Imran. Setiap kali ada babak guna kek, saya akan buat fresh sebiji supaya para pelakon pun boleh jamah di set penggambaran. Pengalaman yang paling tak dapat dilupakan adalah babak kejar kereta tapi saya terjatuh atas jalan tar. Sebenarnya masa tu lutut dah cedera tapi kena teruskan juga. Sebabkan tak boleh nak bersuara, so muka & tangan kena main peranan lebih. Tapi masa bloopers yang jatuh basikal dengan Riena tu saya cuma terkejut saja.
Tak sangka terima banyak pujian…siap dapat hadiah
Dalam pada itu, Shahril turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh tenaga produksi yang mempercayai dirinya serta para peminat yang tak putus-putus memberikan galakan sepanjang terbabit dalam drama ini. Di samping akan berusaha lebih baik lagi selepas ini, dia juga menyatakan bahawa suatu kejutan misteri akan ditawarkan kepada penonton setia ‘Kampung People’
Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang meminati watak Si Badrul Bisu. Secara jujurnya saya rasa touching sebab ada yang sampai poskan hadiah dan barang lagi. Saya tak tahu nak balas balik dengan apa, tapi saya akan cuba yang terbaik & tak menghampakan kalian In shaa Allah.
Sumber: IG shahrilsarjen