Tak dinafikan bahawa soal ajal, jodoh dan detik pertemuan di luar jangkauan kita semua dan merupakan ketentuan daripada-Nya. Walau bagaimanapun, bab perkahwinan sering kali menjadi topik hangat dibincang dan diperdebatkan oleh masyarakat. Perkara ini termasuklah dilema kahwin lewat dalam golongan wanita pada masa kini. Walaupun ia tidak menjamin kebahagiaan sesebuah rumah tangga, namun ia boleh memberi impak kepada kadar kesuburan penduduk di negara ini.
BACA:Â Bercinta Sebelum Kahwin Lebih Selamat, Boleh Kenal Perangai Si Dia Depan-Depan
Lebih sejuta wanita di Selangor berstatus ‘bujang senja’
Mengikut kajian Peratusan dan Bilangan Individu Bujang, negeri Selangor merekodkan jumlah wanita bujang pada usia 30 tahun ke atas merupakan paling tinggi apabila angkanya mencecah 1,014,327 orang. Negeri kedua yang memiliki jumlah ramai golongan sama pula adalah di Johor dengan jumlah seramai 636,537 orang. Manakala dari segi peratusan pula, trend wanita ‘bujang senja’ di ibu negara dan Pulau Pinang mencatatkan statistik yang lebih tinggi apabila masing-masing merekodkan 14.81% dan 12.60%.
Trend kahwin lewat…tumpukan karier & ada ekonomi stabil
Memetik portal Sinar Harian, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan wanita lanjut usia membujang sekali gus menyebabkan trend kahwin lewat terutamanya di bandar-bandar utama seluruh Malaysia semakin membimbangkan. Antaranya adalah penangan perubahan sosial, tumpuan terhadap memajukan karier masing-masing serta ekonomi yang stabil untuk hidup secara solo.
Golongan lelaki turut kena tempias sama
Bagaikan terkena tempias yang sama, negeri Selangor juga mencatatkan jumlah lelaki bujang pada usia 30-an paling tinggi iaitu seramai 148,803 orang. Manakala dari segi peratusan pula, lelaki yang belum lagi mendirikan rumah tangga tetap didominasi oleh warga kota dengan catatan 18.78% lelaki di Kuala Lumpur. Secara keseluruhannya, 4 negeri iaitu Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang merekodkan bilangan atau peratusan lelaki dan wanita bujang melebihi usia 30 tahun paling tinggi berdasarkan bancian yang dibuat tahun 2010.
Sumber: Sinar Harian