Sekitar Mac lalu, negara dikejutkan dengan berita yang melanda kawasan Pasir Gudang akibat pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Johor. Pembuangan bahan haram itu telah menghasilkan asap toksik yang ternyata menjejaskan penduduk di sana sehingga beberapa sekolah terpaksa ditutup. Tidak cukup dengan itu, kesihatan seorang murid tahun 6 yang bernama Irfan Wafiy Idham Wazir turut terjejas teruk apabila saraf kakinya menjadi lemah dan dia disahkan positif Myokymia.
BACA : Sharifah Shahirah Syukur Result UPSR Anak – “Tak Salahkan Kalau Takde 6A”
Hidap Myokymia & menduduki UPSR
Kisah mengenai adik Irfan ini mendapat perhatian di seluruh negara termasuklah media dari negara luar. Meskipun masih belum pulih sepenuhnya, dia menggagahkan diri dan selamat menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Tak percaya ibu beritahu saya dapat 6A
Memandangkan semalam keputusan UPSR telah pun keluar, siapa menyangka murid ini telah mencapai keputusan 6A. Menerusi laporan Harian Metro, Adik Irfan sangat bersyukur dengan keputusan berkenaan walaupun dia sukar ke sekolah rentetan daripada masalah kesihatan yang dialaminya. Dia sendiri seolah tidak percaya dirinya berjaya mencipta keputusan memberangsangkan sedemikian rupa.
Kuatkan semangat demi capai cita-cita
Tambah murid ini, dia bercita-cita menjadi pakar saraf kerana mahu merawat sesiapa saja yang mempunyai nasib sama sepertinya. Biarpun adik Irfan sedar bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran, namun dia akan menguatkan semangat demi mencapai impiannya kelak.
Bersemangat nak masuk sekolah berasrama penuh
Bercakap tentang tips memperolehi keputusan cemerlang, murid ini katanya berusaha memberikan tumpuan penuh setiap kali mengulangkaji pelajaran termasuklah sewaktu berada di rumah. Sementara itu, ibunya iaitu Norlela Abu Hashim bersyukur dengan keputusan tersebut dan dalam proses memohon sekolah berasrama penuh yang bersesuaian dengan keadaan anaknya.
Sumber : Harian Metro , FB Norlela Abu Hashim