Seindah mana pun perancangan hidup, akan tetapi siapalah kita untuk mengubah suratan takdir yang ditetapkan sejak di Luth Mahfuz lagi. Sekitar November tahun lepas, gugur jantung wanita bernama Airina Roslan ini tatkala menerima perkhabaran bahawa suami tercinta iaitu Muhammad Amirul Ashraf telah pergi buat selama-lamanya. Pemuda berusia 25 tahun itu difahamkan mengalami heart attack sewaktu bermain futsal dan luahan sebak balunya turut meruntun hati pengguna laman sosial.
BACA: Kalau Suami Penyayang & Pandai Jaga Anak Isteri, Kehilangannya Memang Terasa
Suami dijemput Ilahi genap 2 bulan kahwin
Sambil berkongsi sedutan video akad nikah, wanita yang mesra disapa sebagai Erin ini reda meskipun kehilangan itu berlaku genap 2 bulan usia perkahwinan mereka. Di samping menyifatkan Amirul sebagai seorang lelaki yang cukup sempurna, wanita berusia 24 tahun tersebut mengakui bahawa memori perkahwinan itu merupakan kenangan terindah sepanjang hayatnya.
Tak nak I sedih lama kan? Sebab tu Allah bagi hadiah kat family kita
Ibarat munculnya pelangi sesudah dilanda badai hujan, Erin sendiri tidak menyangka dikurniakan rezeki untuk menghamilkan zuriat 3 hari selepas pemergian mengejut itu. Menerusi laman Instagram miliknya, dia telah memuat naik sebuah video khas untuk berkongsi detik istimewa itu sambil membuat ucapan rindu buat Allahyarham Amirul. Di samping itu, wanita ini turut mengharapkan doa daripada semua pihak agar urusannya bergelar ibu suatu hari nanti menjadi realiti dan urusannya berjalan lancar.
Sumber: IG ai_pav