Hari ini bersamaan 27 Rejab 1441H, seluruh umat Islam memperingati peristiwa Israk Mikraj yang telah mengangkat darjat dan kemuliaan Nabi Muhammad S.A.W berbanding utusan nabi-nabi yang lain. Namun di sebalik detik cukup bermakna tersebut, rakyat negara ini pastinya bersedih apabila sudah 8 kematian akibat COVID-19 dicatatkan setakat 21 Mac (semalam).
BACA:Â Terkurung 15 Hari Bersama Anak Lepas Hidap COVID-19, Wanita Bayangkan Kematian
Malaysia tersenarai antara 20 negara paling terjejas COVID-19
Menyorot kronologi, wabak pandemik itu bermula membabitkan 3 warga China yang memasuki Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari lalu. Sejak itu penularannya telah melonjak secara berperingkat hingga melepasi jumlah 1,000 positif COVID-19 pada 20 Mac lalu sekali gus termasuk dalam kelompok senarai 20 negara paling terjejas di dunia setakat ini.
Lebih mendukacitakan, sudah ada 8 individu dilaporkan kehilangan nyawa setakat ini. Berikut adalah imbasan rekod kematian yang disahkan oleh KKM selepas hampir dua bulan negara digegarkan dengan ancaman virus korona ini.
Individu positif COVID-19 ke-358
Merupakan seorang paderi dari Sarawak berusia 60 tahun dan mempunyai sejarah masalah kesihatan kronik. Mula bergejala pada 7 Mac dan telah mendapatkan rawatan di Hosp. Umum Sarawak pada 14 Mac. – Kesihatannya mula merosot dan dimasukkan ke ICU sebelum disahkan tiada pada 17 Mac.
Individu positif COVID-19 ke-178
Merupakan seorang warganegara dari Johor berumur 34 tahun yang pernah menyertai perhimpunan tabligh di Sri Petaling. Didapati bergejala mulai 5 Mac & dirawat di Hosp. Permai pada 12 Mac apabila disahkan positif wabak berkenaan. Keadaannya merosot dan dimasukkan ke ICU sebelum disahkan tidak lagi bernyawa pada 17 Mac.
Individu positif COVID-19 ke-152
Merupakan seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun daripada kluster jemaah tabligh juga. Disahkan positif pada 9 Mac lalu dan terus dimasukkan ke Hosp. Tawau, Sabah kerana mengalami simptom Pernafasan Akut Teruk. Dia turut diberi bantuan mesin pernafasan sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 20 Mac 2020.
Individu positif COVID-19 ke-238
Warga tempatan berusia 50 tahun daripada kluster tabligh Sri Petaling. Dimasukkan ke Hosp. Melaka pada 12 Mac dengan gejala jangkitan Pernafasan Akut Teruk positif pada 9 Mac lalu dan terus dimasukkan ke Hosp. Tawau, Sabah kerana mengalami simptom jangkitan pernafasan akut teruk. Mendapat bantuan mesin pernafasan ketika di ICU, namun kesihatannya kritikal hari demi hari sebelum disahkan tidak lagi bernyawa pada 21 Mac 2020.
Individu positif COVID-19 ke-1031
Seorang wanita tempatan berusia 79 tahun. Alami gejala demam dan batuk selama 5 hari dan dimasukkan ke Borneo Medical Centre pada 16 Mac. Dipercayai mengalami kesukaran bernafas pada hari kedua, namun pihak keluarga tak mempersetujui untuk dia diberi bantuan alat pernafasan. Dibawa pulang oleh keluarga pada 17 Mac dan menghembuskan nafas terakhir pada keesokan harinya. Mempunyai kontak dengan anak lelaki dan anak perempuannya.
Individu positif COVID-19 ke-1032
Melibatkan anak perempuan kepada individu ke-1031 berumur 40 tahun. Menghidap demam dan batuk sejak 7 Mac dan dimasukkan ke Hosp. Umum Sarawak pada 18 Mac 2020. Diberi bantuan pernafasan setelah tahap kesihatannya didapati semakin merosot. Disahkan tidak bernyawa lagi pada hari yang sama dengan ibunya juga.
Individu positif COVID-19 ke-290
Seorang lelaki warganegara berumur 57 tahun, mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam dan kontak dengan individu positif COVID-19 daripada kluster tabligh. Dirawat di Hosp. Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020 setelah mengalami gejala demam, batuk dan tekak selama seminggu. Tahap kesihatan mula menurun sehingga mendapat bantuan ventilator sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 21 Mac 2020.
Individu positif COVID-19 ke-781
Lelaki tempatan berusia 69 tahun daripada kluster tabligh. Dimasukkan ke Hosp. Tumpat pada 16 Mac 2020 apabila demam sejak 12 Mac. Dipindahkan ke Hosp. Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 18 Mac 2020 setelah tahap kesihatan makin merosot dan mendapat bantuan alat pernafasan hari berikutnya. Walau bagaimanapun dia cuma sempat bertahan sehingga 21 Mac 2020 sahaja. Daripada jumlah ini, seramai 4 individu dipercayai mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh di Sri Petaling yang dilapor melibatkan penyertaan belasan ribu orang.
Sumber: FB Ismet Raja & Astro Awani