Dalam melayari bahtera rumah tangga, alangkah bertuahnya apabila hubungan istimewa itu berkekalan sehingga akhir hayat. Namun sebagai manusia biasa kita hanya mampu merancang, kerana yang merencanakannya adalah Maha Esa. Apabila sesebuah hubungan itu terhenti separuh jalan, sesetengah orang boleh jadi hilang arah atau susah untuk meneruskan hidup gara-gara telah meletakkan harapan yang tinggi dalam percintaan.
BACA: Suami Kasari Sebab Masih Tiada Zuriat, Isteri Nak Berpisah Tapi Takut Menjanda
Jangan salahkan diri sendiri…beri masa pada diri
Malah wanita kebiasaanya akan berterusan menyalahkan diri sebagai punca perpisahan. Namun, menerusi perkongsian yang dibuat oleh saudara Firdaus Shakirin ini, dia telah memberi nasihat kepada mereka agar berhenti melakukan perkara sia-sia itu. Sekiranya betul wanita yang menjadi punca, sudah tentu akan ditegur terlebih dahulu. Sebaiknya, berikan masa kepada diri sendiri untuk melepaskan segala perasaan terpendam dan fikirlah secara rasional.
Ingat tujuan kehidupan…rancang masa hadapan
Kata Firdaus lagi, wanita perlu sentiasa ingatkan diri bahawa tujuan hidup bukan lah semata-mata untuk lelaki atau teman hidup. Hakikatnya masih terdapat banyak lagi alasan untuk menjalani kehidupan seperti biasa. Walaupun golongan wanita sering disifatkan golongan yang lemah, namun tidak boleh diikutkan hati kerana anak-anak juga masih perlu diberikan perhatian sebaiknya meskipun bayang suami tak kelihatan. Dia turut menambah bahawa perancangan masa hadapan yang baik adalah penting bagi setiap yang melalui tempoh sukar seperti ini.
Allah sentiasa ada dan Maha Melihat
Walaupun seseorang wanita itu merasakan begitu berat ujian rumah tangga yang dilalui, lelaki ini menasihati mereka supaya selalu memperbaiki ibadah kerana cuma Alah yang mengetahui segala takdir berlaku kepada seseorang. Sesungguhnya perancangan yang terbaik jua datang daripada-Nya, maka dianjurkan untuk sentiasa berdoa walau apa pun yang datang melanda.
Yang pergi cuma seorang lelaki…bersedih berpada-pada
Ujar Firdaus lagi, wanita yang mengalami situasi sebegini perlu menerima realiti bahawa partner mereka sudah tidak sehaluan. Oleh sebab itu, dia juga memberi penekanan bahawa golongan wanita perlu belajar untuk menghargai diri sendiri daripada terus meratap atas kehilangan yang tidak mempunyai apa-apa ertinya lagi.
Sumber: Facebook Firdaus Shakirin